Klik di sini untuk mengetahui tips-tips lain.Tips ini boleh digunakan terutamanya kepada calon-calon PMR dan SPM.
Tips -tips belajar
Pelajar yang mengamalkan cara belajar yang betul akan lebih mudah 
mencapai kejayaan berbanding dengan pelajar yang belajar tanpa mengikut 
tatacara yang bersistem. Berikut ini disenaraikan dua puluh kaedah 
belajar yang berkesan untuk membantu pelajar berhadapan dunia 
peperiksaan.
Pertama – Tidak mensia-siakan biar pun seminit
Seorang pelajar yang cemerlang menggunakan masa yang teruang, masa 
pertukaran kelas, masa menunggu kereta sewa, masa sebelum hidangan 
makanan. Mereka boleh membaca satu atau dua soalan objektif atau 
ulangkaji pelajaran yang telah mereka baca.
Kedua – Membawa buku ke mana sahaja anda pergi
Amalkan sikap membawa buku setiap ketika. Sikap ini bukan bermaksud kita
 mesti membaca buku tersebut. Kemungkinan diri anda tidak membaca 
apa-apa , tetapi ia memupuk jiwa bersungguh-sungguh dengan kewajipan 
terhadap pelajaran. Sikap ini membolehkan anda menyemai budaya belajar 
yang positif dan sikap bertanggungjawab terhadap pelajaran.
Ketiga – Gunakan masa awal pagi
Gunakan sepenuhnya masa awal pagi untuk mengulangkaji pelajaran yang 
anda lemah. Pupukan semangat belajar pada awal pagi biar pun anda tidak 
terasa mahu membaca. Usaha ini akan menyemai semangat yang kental 
terhadap pelajaran dan membolehkan anda mulakan hari tersebut dengan 
azam untuk berjaya.
Keempat – Buat nota ringkas
Pelajar yang cemerlang sentiasa membuat nota ringkas. Nota tersebut 
adalah untuk membolehkan anda merujuk kembali apa yang telah anda baca. 
Ia tidak menjamin ingatan anda tetapi ia meningkatkan kuasa ingatan 
anda. Dengan adanya nota ringkas, ulangkaji sehari sebelum peperiksaan 
menjadi lebih mudah.
Kelima – Mengikut jadual sepenuhnya
Aturkan masa untuk setiap aktiviti yang anda hendak lakukan pada hari 
tersebut. Patuhi jadual belajar anda tanpa syarat. Jangan ikut perasaan.
 Biar pun anda tidak suka belajar pada sesuatu masa, buka sahaj buku dan
 membacanya. Jika anda mempunyai disiplin yang kuat terhadap hidup, anda
 tidak akan lalai terhadap tanggung-jawab belajar. Pastikan anda 
peruntukkan masa untuk setiap mata pelajaran pada setiap hari jika anda 
mahu mencapai kegemilangan dalam semua mata pelajaran.
Keenam – Mencuba soalan tahun lalu
Pelajar cemerlang memperuntukkan masa untuk menjawa contoh soalan setiap
 hari. Ini akan membiasakan dirinya dengan corak soalan yang sering 
keluar dalam peperiksaan dan bagaimana menjawabnya. Pelajar yang hanya 
begitu kepada buku teks tidak akan lulus dengan cemerlang kerana mereka 
tidak biasa dengan corak soalan peperiksaan.
Ketujuh – Ulang sebanyak kali yang boleh
Setiap fakta yang dibaca akan terus diulang sebanyak yang mampu. Tidak 
ada had ulangan yang akn dilakukan, Selagi ada masa, anda boleh 
mengulangi apa yang telah dibaca biar pun anda sudah faham atau sudah 
mengingatinya. Semakin banyak anda membaca, semakin tinggi keyakinan 
diri anda untuk lulus dengan cemerlang.
Kelapan – Sentiasa bertanya kalau tidak faham
Dekatkan diri dengan guru dan guna setiap kesempatan yang ada untuk 
menjawab kemusykilan anda. Biar pun anda sudah faham , anda masih boleh 
menanya. Ini akan menguatkan kefahaman dan ingatan anda. Anggapkan guru 
anda, kakak atau abang anda, kawan-kawan anda sebagai orang yang boleh 
membantu anda dalam hal ini.
Kesembilan : Berikan penumpuan pada pelajaran yang lemah
Jika anda lemah dalam bahasa Inggeris atau matematik, peruntukkan masa 
yang lebih untuk ulangkaji. Elakkan memilih mata pelajaran yang disukai 
dan abaikan mata pelajaran yang anda kurang suka. Buat tanda pada 
bahagian yang anda rasa perlu penumpuan lebih. Gunakan simbol dan 
lorekkan bahagian yang anda anggap penting. Jangan jadikan tidak faham, 
tidak ingat atau tidak pandai sebagai alasan untuk berhenti ulangkaji.
Ke sepuluh : Mengunjungi perpustakaan
Rapatkan dengan kawan yang mahu belajar. Perhatikan bagaimana mereka 
belajar dan semarakkan jiwa yang kuat seperti mereka. Tukar pendapat 
antara satu sama lain. Berikan penemuan dan berkongsi soalan yang anda 
buat dengan mereka. Ini akan mengaktifan suasana tolong menolong dalam 
haluan memajukan pelajaran masing-masing.
Ke sebelas : Menjadi model dalam rumah
Jadikan diri anda sebagai contoh kepada adik-adik lain. Beritahu mereka 
“Jangan membuang masa dengan aktiviti-aktiviti yang tidak menyumbang 
kepada masa depan.” Semakin anda memberi galakan untuk mereka , semakin 
tinggi semangat anda untuk menjadi contoh kepada mereka. Apa yang anda 
serukan akan menjadi panduan dalam hidup anda sendiri.
Ke dua belas : Imbangkan masa kokurikulum dan akademik
Jika anda berada dalam tahun peperiksaan , jangan terlalu menumpukan 
perhatian pada kokorikulum kerana ini akan melalaikan diri dalam bidang 
akademik. Jika anda mahu berjaya dalam akademik, anda perlu mempunyai 
masa ulangkaji yang cukup di rumah. Masa ulangkaji untuk SPM ialah dalam
 lingkungan 5 jam ke 6 jam sehari. Jika masa minima tersebut tidak 
dipenuhi, anda mungkin perlu berjaga malam atau bangun pagi.
Ke tiga belas : Belajar mengikut rentak sendiri 
Jangan membandingkan diri dengan pelajar yang mantap dalam prestasi 
peperiksaan. Anda perlu mebgenal rentak sendiri dan pastikan anda 
mematuhi rentak tersebut. Jika anda seorang pelupa, pastikan anda 
mengatur masa ulangkaji kedua atau ketiga pada minggu-minggu yang akan 
datang. Jika anda perlukan bimbingan tambahan , dapatkan tuisyen.
Ke empat belas : Persiapan minda sebelum ulangkaji
Lelapkan mata untuk beberapa minit dan wawasankan hidup anda kelak. Apa 
yang anda hendak capai. Apakah corak hidup yang anda hajatkan. Apakah 
yang hendak anda berikan kepada ahli keluarga serta ibu bapa anda 
sebagai tanda kasih sayang dan terima kasih. Adakah anda berhajat hendak
 mengharumkan nama keluarga dan negara anda ? Apakah kejayaan peringkat 
remaja yang membanggakan diri anda dan keluarga anda? Bila anda membaca 
buku, kaitkan dengan hidup anda. Anda bukan sekadar mahu lulus cemerlang
 dalam peperiksaan , anda mahukan hidup yang baik dan berkualiti.
Ke lima belas : Elakkan gangguan emosi
Semua perkara yang merunsingkan dan mengganggu konsentrasi waktu belajar
 perlu diketepikan. Beritahu diri anda , “saya tidak relakan masa depan 
saya tergadai oleh okr yang remeh-temeh ini.” Sebaik pemikiran atau 
perasaan negatif timbul, tuliskan pada kertas . Layankan semua gangguan 
ini selepas peperiksaan. Anda boleh gunakan musik latar yang lembut 
untuk menjadikan suasana belajar lebih menyelerakan (jika sesuai).
Ke enam belas : Kurangkan kerja rumah tangga
Jika anda pada tahun peperiksaan , maklumkan hajat anda untuk berjaya 
dan minta adik-adik anda menolong anda dalam beberapa aspek kerja rumah 
tangga. Amalkan sikap tolong menolong dalam keluarga. Bila masanya 
mereka yang menduduki peperiksaan SPM, sama-sama menolong dirinya. 
Budaya berkongsi beban kerja rumah tangga seperti mencuci kasut, menyapu
 lantai dan lain-lain akan memberi lebih masa untuk anda belajar.
Ke tujuh belas : Rancangkan jadual ulangkaji setahun
Tetapkan ulangkaji anda sehingga bulan September. Sebulan sebelum 
peperiksaan , anda perlu siap ulangkaji. Pastikan setiap mukasurat 
dibaca, dan setiap soalan dijawab. Ini boleh dilakukan dengan 
membahagikan bilangan mukasurat buku dengan bilangan hari yang ada. Jika
 anda gagal mengulangkaji mukasurat berkenaan pada hari yang ditetapkanm
 pangkahkan dengan besar menggunakan pensil. Pastikan anda membaca 
mukasurat ini sebelum peperiksaan tiba. Tapi, sebelum anda membaca 
mukasurat yang terhutang, pastikan anda telah siap ulangkaji mukasurat 
yang ditetapkan untuk hari tersebut.
Ke lapan belas : Belajar menyesuikan diri dengan semua keadaan
Biar pun rumah anda bising, panas atau kurang selesa; ia tidak menjadi 
penghalang untuk anda mengulangkaji. Kadang-kadang , kita perlu belajar 
menyesuikan diri dengan kekurangan yang ada. Semakin mencabar keadaan 
anda , semakin besar ujian ketahanan diri anda. Beritahu diri anda , 
“biar apa yang berlaku, saya tetap dapat menjalankan tugas saya kerana 
saya seorang yang tahan lasak.”
Ke sembilan beas : Berhati-hati dengan kawan yang tidak sehaluan dengan anda 
Jika anda mahu belajar tetapi rakan-rakan anda tidak suka belajar. 
Mereka cuba mempengaruhi anda dengan seribu satu jenis kegiatan yang 
hanya membuangkan masa anda. Berani berkata “tidak” dan menolak mereka 
dengan lembut. Jangan sekali-kali menjadi mangsa kepada mereka kononnya 
anda tidak mahu melukakan hati mereka. Jika anda mengikut rentak mereka,
 anda akan melukakan masa depan sendiri.
Ke dua puluh : Terus belajar biar pun tidak menampakkan kemajuan
Jangan mengukur prestasi anda kerana tidak menampakkan kemajuan yang 
nyata dalam keputusan peperiksaan sekolah. Setelah berbulan-bulan anda 
bertungkus-lumus, anda mungkin mahu kemajuan dalam keputusan sekolah. 
Sebenarnya, penilaian sekolah tidak menggambarkan anda pasti akan lulus 
atau gagal dalam peperiksaan akhir tahun. Teruskan usaha dan jangan 
berhenti.
Ke dua puluh satu : Terokai bakat dan minat anda
Sambil anda berjuang untuk peperiksaan SPM, peruntukkan masa juga untuk 
bidang yang anda hendak ceburi. Mungkin anda minat dengan bidang 
kedoktoran, baca majalah dan bahan rujukan am yang berkaitan dengan 
cita-cita anda tersebut. Gunakan bakat anda untuk berbakti kepada 
keluarga atau sekolah anda. Jika anda minat dalam bidang kejuruteraan, 
peruntukkan masa untuk belajar membaiki kereta atau anda juga boleh 
menolong kawan anda membaiki kereta mereka. Kegiatan sedemikian 
menjadikan makna pembelajaran lebih nyata. Anda tahu mengapa anda 
belajar kerana anda mempunyai hala tujuan yang nyata.
Kesimpulan 
Belajar adalah suatu seni. Jika anda tahu menguasai seni tersebut , anda
 boleh berjaya biar pun diri anda mempunyai beberapa kekurangan. Semoga 
lembaran ini menguatkan ikhtizam anda untuk mencapai prestasi yang lebih
 cemerlang dalam pelajaran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan